KUCHING: Pengalaman 10 tahun dalam kabinet negeri akan dimanfaatkan sepenuhnya Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi bagi merealisasikan agenda kementerian itu menjelang tahun 2030.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau optimis bahawa barisan kabinet negeri yang lain akan bersatu hati membangunkan Sarawak bersama Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebagai satu pasukan.

Jelasnya lantikan itu adalah satu bentuk kepercayaan dan amanah yang untuk wakil rakyat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat serta kementerian.

“Lantikan ini merupakan amanah dan tanggungjawab yang saya perlu galas bersama-sama dengan rakan-rakan di kementerian kami dan kesemua kakitangan jabatan serta agensi berkaitan dalam merealisasikan capaian bekalan air, elektrik dan jaringan telekomunikasi di seluruh Sarawak menjelang tahun 2030.

“InsyaAllah, saya akan gunakan pengalaman lebih 10 tahun dalam barisan kabinet negeri untuk bersama-sama Ketua Menteri dan seluruh ahli-ahli kabinet baharu yang lain membangunkan Sarawak dan menjalankan tugas sebagai satu pasukan,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Untuk rekod, Julaihi telah memegang portfolio menteri muda dalam barisan kabinet negeri sejak tahun 2011 sehingga 2021 melibatkan beberapa kementerian.

Antara portfolio yang pernah dipegang beliau ialah Menteri Muda Perindustrian Pelaburan dan Promosi, Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar, Menteri Muda Jalan Pesisir dan portfolio terakhir sebelum Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN12) sebagai Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak.